
Penyelaras & Teks : Norasikin Samsi
Gambar : Idzwan Junaidi (www.giproduction.com)
KEHIDUPAN ROSNAH MAT ARIS SETELAH 'BEBAS' DARI HUKUMAN
-Ambil Pendekatan Terus Maju Ke Hadapan
Pernah mencetuskan kontroversi apabila berlakunya pengucapan yang tidak disengajakan ataupun kata lainnya 'terlepas cakap'. Ungkapan yang dilabel sebagai melampau atau biadap bagi segenap pendengar yang mengikuti program bual bicara anjuran TV3 itu mendapat perhatian seluruh masyarakat khususnya beragama Islam. Dikatakan tidak peka soal agama sekaligus menyentuh sensitivitinya, pelakon popular tanah air, Rosnah Mat Aris dijatuhkan hukuman di atas keterlanjurannya itu. Ekoran kejadian tersebut, dia dihukum 'penjara' selama setahun. Semuanya disebabkan satu perkara, angkara mulut. Benarlah seperti kata pepatah, 'kerana mulut badan binasa'. Inilah yang terjadi pada pelakon yang memegang watak 'Mak Tungkik' dalam Filem Duyung terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Line Clear Motion Pictures. Hukuman 'penjara' yang dikatakan di sini bermaksud beliau telah pun menerima hukuman digantung daripada muncul dalam mana-mana rancangan terbitan RTM. Hukuman selama setahun berkuat kuasa 2 Mac 2007 itu berpunca apabila Rosnah yang lebih mesra menggelarkan dirinya sebagai Kak Ros mengeluarkan kenyataan sensitif mengenai isteri Rasulullah pada 16 Februari tahun lalu menerusi rancangan Sensasi. Semasa program itu, Rosnah menyentuh secara sensitif usia isteri Rasulullah, Saidatina Siti Khadijah sehingga menimbulkan pelbagai reaksi tidak puas hati dari umat Islam. Disebabkan kejadian itu, Rosnah digam oleh RTM, manakala program secara langsung itu turut diarahkan supaya dihentikan serta merta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Rosnah terpaksa akur menerima pelbagai penghinaan dan tomahan yang dilemparkan kepadanya meskipun beliau telah meminta maaf secara terbuka gara-gara insiden itu menerusi sebuah akhbar tabloid tempatan. Namun, dalam tempoh pergantungan itu, Rosnah masih aktif berlakon di bawah syarikat produksi lakonan di Singapura.
Menurutnya, sepanjang dia berhadapan dengan tempoh penggantungan di RTM, beliau masih menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi ada sedikit perubahan berlaku. Maksudnya, dia tidak menerima sebarang penawaran lakonan dari pihak televisyen tersebut. "Kak Ros akui selama setahun Kak Ros tidak dibenarkan muncul di RTM dan bermakna selama itulah banyak syarikat yang tidak mahu mengambil saya berlakon. Kak Ros terima itu adalah kesilapan yang Kak Ros lakukan. Kak Ros redha dengan apa yang berlaku. Kak Ros anggap ini adalah ujian dari Tuhan dan Dia mahu menguji sejauh mana kekuatan Kak Ros. Tetapi berkat kesabaran dan tempoh yang Kak Ros lalui, akhirnya Kak Ros berjaya melepasi rintangan itu. Saya anggap hukuman itu sebagai pengajaran berguna disebabkan peristiwa itu,"
Ketika ditanya mengenai imejnya yang sentiasa tampak muda dan ranggi, Rosnah sedia mendedahkan rahsianya. " Saya akan pakai pakaian yang memberikan keselesaan kepada saya. Lagipun bukannya saya berpakaian seksi. Dedah sana, dedah sini. Saya suka dengan imej ini. Peminat suka melihat artis kelihatan muda, kemas dan cantik. Jadi, saya kena jaga personaliti saya demi kerjaya."
Bagaimana pula dengan tutur bicara?. Dia menjawab, "Kak Ros masih tetap seperti dahulu. Seperti mana Rosnah Mat Aris yang orang kenal sebelum ini. Saya tidak suka hipokrit. Lebih-lebih lagi dalam soal percakapan dan penampilan. Buat apa nak jadi orang lain. Tetapi sekarang ni, banyak pengajaran yang saya terima dari peristiwa tersebut. Sekurang-kurangnya ia mengajar saya mengawal percakapan dan perlu berhati-hati dalam membicarakan mengenai isu sensitif dengan berfikir terlebih dahulu agar pisang tidak berbuah dua kali," katanya.
Meskipun Rosnah dilanda tamparan hebat sebegitu, namun ibu kepada empat anak ini yang juga memikul peranan sebagai bapa dalam institusi keluarganya cukup kuat dan berani mengatasi setiap dugaan yang melanda. Bukan itu sahaja, dia juga melonjak ke hadapan mengintai peluang perniagaan untuk masa hadapan. Itulah dia perancangan wanita yang bernama Rosnah Mat Aris sebaik sahaja dia 'bebas' menjalani tempoh penggantungan itu.
MENGINTAI PERNIAGAAN DI BAHRAIN
Persoalan utama yang diajukan padanya tatkala bercerita perihal ini, "Adakah Kak Ros merajuk atau mahu membawa diri ekoran dari kejadian berkenaan? Adakah Kak Ros akan berhijrah dan terus menetap di sana?." "Tiada istilah merajuk dalam hidup Kak Ros. Kalau betullah Kak Ros nak bawa diri mengapa Kak Ros tak pergi dari dahulu lagi. Sebenarnya, Kak Ros berhajat untuk membuka restoran makanan Malaysia di Bahrain atas pelawaan sepupu Kak Ros yang tinggal di sana. Kak Ros bukan merajuk dengan apa yang berlaku tetapi Kak Ros mengambil peluang ini untuk mencuba sesuatu yang baru dan mengembangkan perniagaan Kak Ros ke peringkat antarabangsa. Mungkin berbekalkan pengalaman dan kebolehan Kak Ros memasak dan berniaga di sini akan menghasilkan sesuatu yang baru dalam hidup Kak Ros. Selain itu, inilah peluang untuk Kak Ros memperkenalkan kepada rakyat di sana keistimewaan masakan tradisi Malaysia."
"Seperti yang Kak Ros tinjau, penduduk di sana menyukai nasi lemak. Jadi Kak Ros ingin menyediakan menu itu selain rendang ayam, ayam goreng berempah dan roti canai secara berperingkat. Terbaru, pada bulan Mac lalu, Kak Ros baharu sahaja pulang dari Bahrain mencari restoran yang sesuai yang bakal beroperasi secepat mungkin. Jika tiada aral melintang sebaik sahaja semua pengurusannya berjalan lancar, Insya-Allah Kak Ros akan memulakan perniagaan ini. Tetapi walau macam manapun, Kak Ros akan berulang alik ke sini sebab anak-anak ada di sini. Cuma seorang anak lelaki Kak Ros akan menemani Kak Ros ke sana nanti. Lagipun Kak Ros masih berlakon di sini seperti biasa. Itupun bergantung pada masa dan keadaannya. Tapi jika perniagaan berkembang maju dan punya potensi baik untuk masa depan, mungkin Kak Ros akan bawa anak-anak Kak Ros menetap di sana dan meneroka perniagaan yang lebih baik memandangkan populasi masyarakat Melayu di sana yang kian meningkat," katanya yang menceburi sektor perniagaan sejak tahun 1978.
IBU TIDAK BOLEH DIBELI & DIGANTI
Sempena meraikan sambutan hari ibu pada bulan ini, saya mengambil peluang untuk menanyakan perihal ibu kepadanya. "Boleh tolong jelaskan di manakah letaknya martabat seorang ibu di kaca mata Kak Ros?". Lantas beliau menjawab, "Seorang ibu tidak boleh dibeli dan tidak boleh diganti. Ibu tidak ada dijual di pasar atau di supermarket. Jika kawan kita boleh cari dan gantikan dengan kawan yang lain. Tapi bila bercakap mengenai ibu, tiada apa yang boleh dibandingkan dan digantikan dengan dengannya melainkan kita meletakkannya di tempat teratas dan paling mulia di dunia ini. Pengorbanan ibu mengandungkan, melahirkan, memelihara, membesar dan mendidik anak sehingga dewasa tidak boleh dinilai dengan apa sekalipun. Itulah martabat seorang ibu," katanya yang teruja menantikan tayangan drama lakonannya, Dwi Cinta terbitan Bright Network yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi yang mana penayangannya disekat selama setahun sejak kejadian tersebut.
Saya menyambung pertanyaan. "Setiap anak tidak terlepas dari membuat kesilapan dan dosa terhadap orang tuanya. Jika kita tengok realiti kehidupan anak di zaman sekarang, ramai yang sudah lupa tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Ada yang sudah hilang rasa hormat, tidak menghubungi dan mengunjungi mereka. Malah ada yang keterlaluan sehingga melupakan terus jasa dan pengorbanan ibu bapa sehingga sanggup tidak mengaku itu adalah orang tuanya sekaligus menjadi anak derhaka. Apa komen Kak Ros jika situasi ini terjadi pada Kak Ros? Adakah Kak Ros akan memaafkan mereka? "Jika Kak Ros tengok zaman sekarang, memang ada anak yang bersikap demikian. "Banyak yang kita tengok anak-anak sekarang bersikap biadap terhadap ibu bapanya. Tetapi situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Namun, sebagai ibu, kita mestilah mengampunkan dan menghalalkan dosa anak-anak kita. Bagi Kak Ros, Kak Ros sentiasa memaafkan dan menghalalkan dosa anak-anak. Satu yang Kak Ros minta supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan berharap agar mereka tidak melupakan ibunya ini," katanya yang kini sedang meninjau lokasi perniagaan di Bahrain.
Bagaimana pula dengan penghargaan anak-anak apabila menjelang hari ibu ataupun hari jadi Kak Ros? Adakah mereka meraikannya ataupun memberi sesuatu yang istimewa buat ibunya? Rosnah tersenyum seketika. Mungkin sedang mengingati peristiwa yang mencuit hatinya. Lantas dia menjawab, "Anak-anak Kak Ros selalu buat suprise pada Kak Ros. Macam dua tahun lalu, masa itu Kak Ros tak ingat pun hari jadi Kak Ros. Pada hari tersebut, Kak Ros tertidur sampai nak masuk waktu maghrib. Setelah sedar dari tidur, Kak Ros tengok rumah Kak Ros gelap gelita. Kak Ros tanya mereka kenapa tak buka lampu. Mereka kata tiada elektrik. Betul-betul Kak Ros ingat tiada elektrik masa tu. Kemudian, Kak Ros bangun dan keluar dari bilik, semua anak-anak Kak Ros nyalakan lilin dengan kek dan menyanyikan lalu hari jadi untuk Kak Ros. Barulah Kak Ros sedar yang hari itu adalah hari jadi Kak Ros. Kak Ros benar-benar rasa seronok dan bahagia masa tu," katanya.
Seraya itu penulis terus bertanya, macam mana dengan pemberian hadiah daripada anak-anak setiap kali tibanya hari ibu ataupun hari jadi Kak Ros? "Tiada ibu bapa yang nak tengok anaknya hidup susah. Semuanya mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Begitu juga macam Kak Ros, Kak Ros selalu berdoa pada Tuhan supaya memberikan kesejahteraan, kehidupan yang baik, keselamatan dan juga kesenangan hidup untuk anak-anak Kak Ros. Kak Ros mohon pada Tuhjan agar anak-anak Kak Ros dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah. Alhamdulillah, Kak Ros bersyukur sangat-sangat kerana anak-anak Kak Ros memahami dan sentiasa berada di sisi Kak Ros pada bila-bila masa sahaja. Merekalah yang banyak memberikan dorongan dan semangat buat Kak Ros sepanjang Kak Ros melalui tempoh hukuman lalu. Itulah berkat doa ibu yang tidak pernah putus untuk anak-anaknya. Berbalik kepada hadiah dari anak-anak sempena hari ibu ataupun hari jadi Kak Ros, biasanya anak-anak Kak Ros akan mencium pipi Kak Ros. Inilah hadiah paling berharga bagi Kak Ros. Jika pada hari tersebut Kak Ros sedang shooting atau tiada di samping mereka, Kak Ros akan terima ucapan melalui sms dari mereka. Bagi Kak Ros cukuplah jika mereka dapat mengingatinya. Kak Ros rasa bangga dan terharu kerana Tuhan menganugerahkan anak-anak yang sentiasa mengingati ibunya. Namun, jika Kak Ros bersama mereka pada waktu itu, pasti mereka akan bawa Kak Ros keluar makan ke tempat istimewa sempena meraikan hari tersebut," katanya yang memasuki 54 tahun pada 9 Mei ini.
No comments:
Post a Comment