KEAJAIBAN NALURI SEORANG IBU...
Norlina Alawi Rela Dicemuh, Dihina Semata-Mata Membela Nasib Anak-Anak AIDS/HIV
"Kamu ni angah, berani sangat! Kalau berjangkit, seumur hidup menangis air mata darah pun dah tak berguna!", tegur saudara mara apabila mengetahui As disahkan mengidap HIV Positif. Semua kaum keluarga protes apabila mendapat tahu bahawa aku ingin membela gadis bisu dan cacat pendengaran itu."
"Kenapa nak menyusahkan diri? Kenapa nak mengacau-bilaukan keluarga kita? Kita dah ada lima anak. Jaga yang ada ni pun dah besar pahala mama dapat!", jerkah suaminya, Roslan, berang.
"Aku sudah bertekad. Biar pun tsunami melanda, biar bumi bergoncang, selagi diizinkan Allah, aku ingin hamil anak keenam. Untuk apa? Bukankah aku sudah mempunyai lima anak? Mengapa harus menambah anak lagi? Ramai yang bertanya. Aku sekadar tersenyum... Dalam lembut, aku memberikan jawapan dan semua yang mendengar terpana seketika. Mungkin mereka berasa hairan. Malah mereka mengatakan aku sudah gila!"
"Biarlah...setiap orang bebas bercakap. Aku tidak berkecil hati. Aku hanya memohon ke hadrat Ilahi agar dimurahkan rezeki. Aku mahu hamil dan melahirkan bayi keenam aku bersama Roslan. Untuk apa? Ya, itulah persoalannya. Aku yakin hanya susu ibu sahajalah yang mampu memberi keajaiban pada bayi dalam kandungan As. Susu ibu mestilah daripada ibu yang sihat. Aku mengimpikan untuk menyusukan sendiri bayi As di samping merasai keseronokan mendapat cahaya mata baru. As tidak mampu berbuat demikian kerana dia disahkan HIV positif apabila kandungannya berusia tujuh bulan. Gilakah aku? Apakah menyusukan bayi, bersedekah sekadar seteguk dua susu badan sendiri kepada anak yang bukan kukandungkan, aku dianggap gila."
"Alhamdulillah, tiga bulan selepas itu, aku disahkan hamil. Suamiku langsung kehilangan kata-kata. Bukan sekadar itu, dia juga tidak percaya dengan tujuan kehamilanku. Muslihatku cuma satu. Mahu menggunakan susu badanku kelak untuk anak As yang bakal lahir itu. Sehingga As selamat melahirkan 'Andak' (panggilan bagi anak As yang baru dilahirkan). Nenek Andak bercadang menyerahkannya ke rumah kebajikan. Aku tidak sanggup berdiam diri. Biarlah aku dikutuk jiran tetangga. Aku mahu Andak membesar sebagai anak angkat aku yang sah setelah ibunya melarikan diri selepas melahirkan Andak. Akhirnya Allah mempermudahkan proses itu. Aku selamat melahirkan anak keenam, Nur Elisa Sofea. Kelahirannya membawa seribu hikmah. Tarikh 20 Ogos 2002 memberikan cahaya baru dalam hidupku."
"Semua kesakitan lenyap apabila menatap wajah bayiku. Paling memilukan, aku menatap Andak yang penuh asyik berkongsi susu badan bersama anakku. Sehingga aku menerima berita di luar jangkaan. Tetapi itulah doa dan harapan aku agar Andak bebas dari jangkitan HIV. Pada usia Andak dua tahun, aku dikhabarkan bahawa Andak bebas dari virus itu. Akulah insan paling gembira dan terharu di dunia ini. Tidak dapat kubayangkan kebahagiaan yang tiada tandingan ini. Merenung wajah Andak yang terlena kekenyangan sebaik sahaja aku menyusukannya, membuatkan aku terus menangis sepuas-puasnya. Hanya insan yang berada di tempatku sahaja dapat memahami apa yang aku rasakan waktu itu. Naluri keibuanku memuncak-muncak. Aku mampu menyusukan dua bayi sekali gus."
Begitulah waktu-waktu sukar yang dilalui oleh wanita bergelar ibu kepada 40 orang anak ini. Melahirkan anak dari rahimnya sendiri seramai tujuh orang dan selebihnya 33 orang adalah anak angkatnya. Sementara empat orang dari anak angkatnya itu menghidapi AIDS. Manakala yang lainnya pula terdiri daripada anak-anak yang mempunyai sejarah hitam seperti anak-anak penagih dadah, anak yatim piatu, anak yang tiada bapa dan anak terbuang.
Malah untuk mengharungi semua cabaran ini, sokongan penuh dari suami serta anak-anak kandungnya amat diperlukan. Untuk itu, wanita ini sering berdoa agar suatu hari nanti dibukakan pintu hati suaminya untuk menerima perjuangan yang dilakukannya membela kanak-kanak itu.
"Alhamdulillah. Kini, segala pengorbanan dan pahit jerit yang ditempuhi mampu dikongsi bersama suami yang dahulunya menentang habis-habisan. Namun, sekarang kami saling memerlukan dalam sebuah keluarga besar agar sama-sama dapat membimbing anak-anak supaya mereka dapat menjalani kehidupan sempurna dan terjamin," ujar Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Puan Hjh Norlina Hj Alawi yang mesra membahasakan dirinya sebagai 'Mama'.
Beliau menyambung, "Mama juga akan pastikan semua anak-anak mama tidak terabai. Mama akan pastikan kesemua anak-anak Mama mendapat kasih sayang Mama. Malah bagi anak-anak Mama yang kematian ibu bapa akibat HIV, Mama akan cari tanah perkuburan ibu bapa mereka dan bawa mereka pergi ke tanah perkuburan orang tua mereka. Walaupun ada yang tidak mengenali langsung orang tuanya, tetapi, sekurang-kurangnya biar anak-anak ini tahu di manakah kubur ibu bapa mereka. Mungkin dalam waktu terdekat ini mama sedang meneruskan pencarian kubur arwah ibu bapa salah seorang anak mama yang dikenal pasti berada di Pulau Seratus, Tumpat, Kelantan," katanya.
Siapa Norlina Alawi?
Pengalaman penulis yang tidak dapat dilupakan apabila berpeluang berada di PERNIM bersama kanak-kanak tersebut di samping temubual khusus bersama Puan Hjh Norlina.
Mungkin kotak fikiran saya mengatakan tiada siapa wanita yang dapat menandinginya. Kerana limpahan kasih sayang dan pengorbanannya membela nasib anak-anak yang bukan darah dagingnya sendiri. Umpama langit dan bumi jika dibandingkan diri saya dengannya. Meskipun saya juga seorang penyayang tetapi mampukah saya mendukung tanggungjawab mengasuh dan mendidik seramai 33 orang anak angkat itu? Saya tidak kuat untuk itu. Tetapi isi hati saya kuat untuk mengetahui latar belakang Puan Hjh Norlina Alawi.
Sehingga ke hari ini, tidak ramai individu atau badan-badan NGO yang sanggup tampil ke hadapan demi membela dan menghulurkan bantuan terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS kerana mereka menganggap tanggungjawab ini hanya wajar diserahkan sepenuhnya kepada keluarga kanak-kanak yang terdekat dan bantuan kerajaan. Dalam berjuta rakyat Malaysia, muncul juga seorang insan yang berhati mulia yang sudi membantu nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS. Puan Hjh Norlina Hj Alawi serta seluruh ahli keluarga yang terdiri dari suami, anak-anak yang masih bersekolah menengah dan rendah turut sama memikul tanggungjawab ini. Keluarga penyayang ini hanya merupakan sebuah keluarga sederhana. Puan Hjh Norlina hanya menjalankan perniagaan 'Catering' sebagai sumber pendapatan di samping bantuan suaminya. Melalui dua sumber pendapatan inilah dikongsi bersama bagi membela nasib anak-anak pesakit HIV/AIDS yang memerlukan perlindungan dan pelajaran setakat yang termampu. Semuanya adalah kehendak Tuhan yang mengerakkan hati, lantaran rasa keinsafan dan kesedaran bahawa mereka juga adalah makluk Allah yang bergelar insan yang mempunyai hati dan perasaan.
Wanita yang dilahirkan di Kluang Johor pada 19 Disember 1971 ini merupakan anak kedua dari sembilan adik beradik dan beliau adalah anak kepada Pegawai Perhutanan. Sedari kecil, beliau telah diasuh dengan didikan agama, nilai-nilai murni, menghargai insan kurang upaya dan sikap suka menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang berada dalam kesusahan.
Puan Hjh Norlina, 36 mendapat pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Tinggi Kluang Johor dan telah mendirikan rumah tangga pada usia muda dengan suami tercinta, Roslan Zakaria, seorang Pegawai Tentera. Beliau pernah hidup merantau mengikut suaminya berkhidmat di Johor, Sabah, Seremban dan Kuala Lumpur. Dia seorang yang berdikari lantaran sering ditinggalakan suami yang bertugas di luar daerah demi manjaga perbatasan negara. Dia juga aktif di dalam Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT) dan menceburkan diri di dalam dunia perniagaan sajian pemakanan iaitu 'Catering'. Perniagaan ini telah diusahakan semenjak 1998 lagi sehingga beliau terbukti menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya. Kini beliau menceburkan diri dalam bidang pengurusan acara semata-mata mencari peluang untuk menambah pendapatan keluarga demi menyara anak-anak PERNIM di bawah jagaannya.
Pn Hjh Norlina telah memulakan kebajikan membela nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS bermula pada tahun 2001 setelah berpindah dari Sabah dan menetap di Taman Melur, Ampang. Pada mulanya, beliau telah memberi perlindungan kepada seoang gadis berumur 23 tahun yang cacat pendengaran serta bisu dan mengandung akibat hubungan seks dengan penagih dadah. Dia disahkan menghidap HIV positif setelah tujuh bulan mengandung. Pada penghujung 2003, terbit satu perasaan kasih sayang yang amat mendalam terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS. Beliau telah berusaha gigih menubuhkan PERNIM sekaligus menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua PERNIM. Pada 17 Mac 2004, PERNIM menjadi kenyataan setelah diluluskan oleh ROS dan sehingga kini Puan Hjh Norlina berjuang bersama PERNIM demi membela nasib anak-anak yang memerlukan sekelumit kasih sayang dan perhatian. Setelah melalui berbagai cabaran dan dugaan semasa memelihara anak-anak berkenaan, akhirnya beliau telah berjaya menubuhkan Pusat Perlindungan PERNIM pada 26 Mei 2006 dan memegang jawatan sebagai Pengerusi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment