Teks : Norasikin Samsi
Gambar : Idzwan Junaidi (www.giproduction.com)
SEGENIUS WANITA BERNAMA ‘IRA GHANI’
Sejarah hidupnya bermula sebagai gadis sunti yang berasal dari kampung yang merantau mencari pengalaman hidup. Berkahwin pada usia muda bukan halangan untuknya melakar kejayaan. Mengharungi kehidupan yang amat pahit seawal usianya mencecah 20-an membuat beliau lebih menghargai erti kehidupan. Waktu sukar yang ditempuhi mengajarnya erti kedewasaan, kematangan serta bersyukur kerana memiliki seorang suami yang sangat memahami selain mempunyai motivasi yang tinggi. Lama-kelamaan senario ini dapat membantu beliau berdiri teguh tanpa menoleh ke belakang lagi.
Bayangkan gadis yang berasal dari Taiping, Perak ini pernah melalui kehidupan getir di usia yang begitu muda. Sehingga satu ketika dahulu, beliau pernah diuji untuk membuat pilihan sama ada memilih keluarga atau pun suami. Namun, atas sokongan suami dan minat yang mendalam terhadap kecantikan membuatkan beliau berani menceburkan diri dalam bidang ini. Tanpa berbekalkan sebarang pinjaman dan bantuan, beliau dan suami memberanikan diri berjinak-jinak dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan. Umpama kata pepatah, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Berkat kesungguhan dan motivasi diri yang tinggi ianya berhasil sehingga membawa kejayaan seperti mana sekarang.
Kejayaan beliau kini telah dikongsi bersama mereka yang ingin maju sepertinya. Siapa lagi jika bukan usahawan bumiputra tersohor yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Positive Image Resources dan Pengasas Aura Seri & Aura Genius. Pn Ira atau nama sebenarnya Nor Zaina Ghani. Wanita berusia 30 tahun ini yang juga Pengasas Aura Seri Spa & Beauty serta Pengasas Aura Seri Cosmetics (skin care series) telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya terutamanya golongan wanita bumiputra di bawah syarikat Positive Image Resources yang memasarkan produk berkualiti jenama Aura Seri & Aura Genius. Malah dia juga pernah menerima Anugerah Gatte Fosse (Aromaterapi) daripada Institute Of Health Science, Open University, India.
Turut membanggakan, Positive Image Resources telah pun dilantik menjadi Anchor/Mentor di bawah Program Peruncitan Bumiputra dengan usahasama MARA dalam bidang kecantikan dan kesihatan.
“Saya telah pun menerima Watikah Anchor/Mentor yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi. Secara tidak langsung menjadikan Aura Seri sebagai produk yang diiktiraf dan mampu mengembangkan sayapnya demi membangunkan usahawan berjaya,” jelas bekas pelajar SMTA Pekan, Pahang ini.
Manakala senarai cawangan mentee yang dipilih di bawah Aura Seri Spa & Beauty Usahasama Mara ini adalah seperti di Labuan, Wangsa Maju dan Sungai Buloh. Aura Seri Spa Mara di Sabah juga bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 28 Jun nanti.
Menurut usahawan genius yang mempunyai dua anak lelaki ini, syarikatnya juga merupakan syarikat pertama yang mengetengahkan konsep Aura di dalam bidang kecantikan. Katanya, ini disebabkan bidang Aura begitu luas dan telah lama digunakan untuk kecantikan. Untuk itu, syarikat ini menggunakan insentif bagi mendalami dan menerokai ilmu Aura secara serius.
“Aura penting dalam kehidupan dan amat berkait rapat dengan manusia. Positive Image Resources juga sering melibatkan diri dalam program-program amal dan juga kebajikan. Matlamat kami adalah untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berjaya juga berketrampilan menarik serta berilmu pengetahuan tinggi agar disegani. Kami juga mengharapkan agar di masa hadapan, syarikat ini akan dikenali sebagai satu syarikat yang cukup sinonim dengan membina imej menarik serta berkerjaya.” katanya.
Aura Seri Terajui Pakej Bulan Madu Romantis
Bali, Indonesia dipilih sebagai destinasi program “Aura Fantasia Bulan Madu” anjuran Aura Seri dengan kerjasama Utusan Travel & Tours. Percutian romantis dalam program bulan madu ini dijadualkan berlangsung selama 4 hari, 3 malam mulai 17 hingga 20 Jun ini. Program yang akan disertai seramai 50 pasangan suami isteri ini bertujuan mengeratkan hubungan mereka dengan suasana romantis. Selain itu, turut disampaikan pengisian ilmu secara santai oleh Pn Ira sendiri di samping suaminya, Prof Dr Ibrahim Ahmad, pakar motivasi terkenal dan merupakan perintis teknologi Aura nombor satu di Malaysia.
Prof Dr. Ibrahim Ahmad yang sering kali dijemput menjadi panel bagi program motivasi dan kekeluargaan merupakan nama yang tidak asing dalam memotivasikan masyarakat dan banyak membantu menyelesaikan permasalahan individu dan juga pasangan yang meminta bantuannya. Manakala isterinya pula yang cukup dikenali di kalangan korporat dan juga VIP, kerap dijemput menjadi penceramah untuk bengkel kecantikan dan juga kekeluargaan.
Meskipun sudah berkahwin selama 11 tahun, ‘pasangan belangkas’ ini merupakan pasangan contoh selain kejayaan mereka sebagai usahawan berjaya, Apatah lagi kemesraan mereka membuatkan pasangan peserta tidak kekok dan mudah berkongsi cerita dan rahsia mereka. Produk yang diasaskan oleh Pn Ira ini iaitu Aura Seri juga merupakan produk yang dapat membantu dalam kehangatan hubungan suami isteri. Konsep dan juga idea asal program ini juga adalah hasil nukilan dari Prof Dr Ibrahim Ahmad dan juga Positive Mind Resources.
“Program Aura Fantasia Bulan Madu ini diserikan dengan penyertaan artis jemputan, pasangan pengantin baru, iaitu Khai dan Rosma (Akademi Fantasia 1). Manakala Roslan Shah bertindak sebagai pengacara majlis dan juga perantara”.
Pn Ira menyambung, “Selain pakej lawatan ke tempat menarik di Bali, banyak rahsia perhubungan yang sebelum ini tidak biasa dibincangkan secara terbuka oleh masyarakat kita, akan dibicarakan dan dikongsi bersama dan seterusnya membantu peserta mengaplikasikannya ke dalam hubungan masing-masing. Program ini sesuai untuk semua pasangan berkahwin, tidak kira sama ada mereka baru berkahwin atau pun sudah lama berkahwin, malah kami amat-amat menggalakkan penyertaan pasangan yang sudah lama berkahwin kerana cinta itu harus sentiasa disemarakkan.
“Program Aura Fantasia Bulan Madu ini pasti akan menjadi satu program yang sangat menarik dan tidak akan dilupakan oleh peserta. Dengan berlatar belakangkan Bali, yang sangat sinonim dengan keindahan serta suasana romantiknya, pakej lawatan dan juga aktiviti yang amat menarik, pakej harga yang berpatutan, pengisian yang ada padanya serta sokongan dari media, menjadikan program ini sesuatu yang tidak harus dilepaskan oleh pasangan,” katanya.
“Pasangan peserta juga berpeluang memenangi hadiah lumayan bernilai RM10,000 yang berupa barang kemas dari Rafflesia bernilai RM5000, jam tangan dari Blan Sacar bernilai RM3000 dan juga pakej spa, produk Aura Seri serta pakej pelancongan bernilai RM2000 untuk kategori hadiah utama yang akan diberikan kepada pasangan paling hangat sepanjang program selain dari hadiah-hadiah hebat lain (percutian, pakej spa dan lain-lain) bagi kategori berasingan. Peserta akan dihakimi oleh juri rahsia kami yang akan memantau hubungan pasangan sepanjang program berlangsung.
“Diharap program ini berjaya mencapai objektifnya dan seterusnya sedikit sebanyak dapat membantu mengeratkan lagi hubungan pasangan suami isteri. Secara tidak langsung, ia dapat menyumbang kepada pengurangan keruntuhan institusi kekeluargaan di Malaysia. Program ini juga merupakan hadiah terbaik sempena Hari Ibu, Hari Bapa dan juga sebagai hadiah perkahwinan. Pendaftaran penyertaan adalah bergantung kepada kekosongan dengan terhad kepada 50 pasangan sahaja dan hanya dibuka untuk pasangan suami isteri yang sah sahaja,” jelas Pn Ira mengakhiri perbualan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment