Monday, June 23, 2008

SHOOTING MAHLIGAI IDAMAN DATIN ZAIDAH


Teks : Norasikin Samsi
Foto : Ariffthani (www.arifthani.com)

THE POWER OF LOVE DATIN ZAIDAH

Chinese look. Itulah expression penulis terhadap personaliti kali ini. Bertemu dengan seorang personaliti yang cantik jelita, berjiwa muda, tinggi lampai dan elegan membuatkan fikiran saya menjangkakan bahawa wanita yang melewati usia 40-an ini tentunya seorang model. Mengambil masa kira-kira setengah jam menunggu juru mekap menghabiskan sentuhan terakhir di raut muka nan ayunya, Datin Zaidah Zakaria kelihatan jauh lebih muda dari usianya. Dengan berimej kasual, wajah cerianya menyambut kedatangan team Diva dengan mengenakan sut bertema hitam berkasut Brunomagli. Dikatakan tidak pernah menceburi bidang modelling, tetamu Diva kali ini adalah seorang pemurah dengan senyuman, happy go lucky serta peramah. Itulah dia keperibadian Datin Zaidah Zakaria, pernah berkhidmat bersama Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB).

Anak kelahiran Johor Bahru ini memutuskan untuk menamatkan kerjayanya sebagai ketua jurukira pada 1999. Mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa setelah mengalami masalah ketiadaan pembantu rumah selama setahun merupakan satu keputusan yang tepat dilakukan dalam hidupnya, kerana saya bertanya kepadanya; datin tidak menyesalkah berhenti bekerja? Terus dia berkata, "Demi kepentingan keluarga, saya rela melepaskan kerjaya. Biarlah saya bekorban sepenuhnya untuk suami dan anak-anak. Dapat menjaga makan pakai mereka sepenuhnya. Bagi saya jaga keluarga lagi mustahak. Itupun disebabkan suami saya berkemampuan. Lagipun sebelum saya membuat keputusan tersebut, saya berbincang terlebih dahulu bersama suami. Dia bersetuju dan tidak kisah dengan keputusan ini." Tambahnya lagi, suaminya, Datuk Syed Muhamed Syed Ibrahim, 50, memegang jawatan sebagai Chief Executive Operation (CEO) TH Properties sentiasa memberikan sokongan baik dalam apa cara selakipun dan bersyukur memiliki suami sepertinya yang menyayanginya sepenuhnya.

Mempunyai kuasa cinta yang luar biasa. Bermula dengan perasaan tidak suka sewaktu mengenali suaminya. Tetapi entah bagaimana secara tiba-tiba dan tanpa disedari hatinya terbuka menerima si pria sebagai teman istimewa. Seterusnya hubungan yang terjalin diteruskan dengan ikatan pertunangan hanya selama tiga bulan mereka diijabkabulkan. Mungkin kerana panahan asmara. Dari mata turun ke hati. Begitulah ajaibnya cinta. Sungguhpun mengenali pasangannya dalam masa yang begitu singkat yang tidak mencecah setahunpun, Datin Zaidah yang berkahwin muda pada usia 19 tahun berjaya mengekalkan ikatan cinta antara mereka sehingga sekarang. Dikatakan bersama suami dan anak-anak adalah masa yang paling bahagia dikecapi seumur hidupnya. Kenyataannya, jelas terpancar dari raut wajahnya kebahagiaan yang dimiliki sewaktu ditanya bagaimana pasangan yang seringkali mendapat jolokan seperti 'belangkas' oleh teman-temannya bertemu dan bercinta.

Ingin rasanya untuk kita mengenali latar belakang dan personaliti tetamu Diva kali ini. Jom kita ikuti temubual yang seterusnya bersama Datin Zaidah.

Tarikh lahir dan horoskop datin?
10 April 1963. Berbintang Aries.

Tahun kelahiran datin menurut kalendar Cina?
Tahun arnab.

Pendidikan datin?
SPM.

Susur galur keluarga datin dan suami?
Moyang saya Cina. Bapa saya Bugis. Ibu pula orang Jawa. Keluarga suami pula, neneknya adalah orang Cina.

Adakah datin dan datuk menceburi bidang politik?
Tidak.

Kenapa?
Tidak berminat. Tetapi kami suka mengikuti isu semasa dan perkembangan terkini baik di dalam negara mahupun di luar neagara.

Apakah masakan datin yang datuk suka?
Nasi Bohari.

Usia perkahwinan?
25 tahun.

Nyatakan 3 perkara yang mesti dilakukan setiap pagi sebelum datuk ke pejabat.
Menyedia dan menyiapkan pakaian, sarapan bersama dan memberikan kucupan.

Nyatakan lima keistimewaan datuk di mata datin.
Seorang yang firm, joker, loving, jujur dan disiplin.

Apakah rahsia datin mengekalkan kebahagiaan rumah tangga?
Selain daripada komunikasi, kesabaran adalah kunci utama dalam melayari rumah tangga.

Apakah tindakan datin apabila rumah tangga bergelora?
Saya akan mengalah.

Make-up kesukaan datin?
Dior.

Nyatakan koleksi minyak wangi kegemaran datin?
LaLique, Marc Jacobs, Blvgari dan J Lo.

Koleksi beg tangan pilihan datin?
LV, Fendi dan Gucci.

Himpunan kasut kesayangan datin?
Bally, Stuart Weiztman dan Ferragamo.

Tempat shopping favourites?
One Utama, Pavilion dan KLCC.

Movie terakhir yang ditonton di panggung wayang bersama suami?
National Tresure II.

Warna kesukaan datin?
Black.

Makanan dan minuman kesukaan datin?
Laksa, lontong dan masakan Johor. Minuman pula air sirap bandung.

Hobi datin?
I love cooking. I juga suka mengemas. Di rumah ini, sebulan sekali I mesti tukar decoration perabot. Tapi I suka buat sorang-sorang. Tak ada gangguan.

Jenis muzik yang datin suka?
R & B.

Penyanyi kesukaan datin?
Anuar Zain dan Noryn Aziz.

Pelakon kegemaran datin?
M. Rajoli dan Azean Irdawaty.

Pernah mengerjakan umrah? Kalau pernah bersama siapa dan bila?
Pernah. Bersama suami. Sekali pada tahun 1996 dan sekali lagi pada 2007.

Destinasi pelancongan keluarga di dalam negara?
Penang. Sebab Penang mempunyai pelbagai makanan yang lazat dan istimewa di samping tempat menarik.

Destinasi pelancongan keluarga di luar negara?
Kami sekeluarga suka pergi ke Bandung, Perth dan Singapore.

Apakah saat yang dinantikan dan ingin diraikan bersama keluarga?
Weekend. Sebab hujung minggulah waktu bersama seisi keluarga untuk kami pergi berjalan-jalan, shopping dan menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga dan mencuci kereta bersama.

Pekerjaan bapa datin?
Seorang polis.

Ibu pula?
Mengusahakan sebuah restoran makanan di Johor Bahru.

Bilangan anak, nama, usia dan apa yang dilakukan mereka sekarang?
Empat orang. Syed Tahir, 24, study di Sunway College dalam bidang Business & Finance. Sharifah Thaiyibbah, 23, Pramugari Syarikat Penerbangan MAS. Syarifah Aisyah, 18, sedang menunggu keputusan SPM dan yang terakhir bersekolah di Smart School, Syarifah Sabrina, 15.

Sempena valentine pada 14 Februari ini, apakah makna valentine bagi datin?
Datin terdiam seketika. Lalu dia berkata, "Bagi saya tiada makna apa-apa. Sebab saya dan suami tidak pernah meraikannya. Sebenarnya valentine bukan budaya orang timur dan bukan budaya kita. Bagi saya, kasih sayang di antara kami berdua sepanjang masa, setiap ketika dan tidak mengira waktu. Every day and every night. Tidak perlu untuk menunggu waktu-waktu tertentu sahaja untuk menghargai pasangan. Kita mesti tanamkan dalam hati perasaan seperti ini agar kasih sayang itu berpanjangan dan kekal abadi.

Hadiah paling istimewa pemberian daripada suami dan bila?
Set rantai dan gelang tangan Tiffany pemberian suami pada hari jadi yang ke-44 pada tahun lalu.

Apakah harga sebuah perkahwinan bagi datin?
Teramat bermakna. Tidak dapat dinilai dengan apa-apa sekalipun. Tidak sedar masa berjalan begitu panjang hidup bersama suami dan keluarga. Alhamdulillah, rasa happy sangat. Semuanya dapat dilakukan bersama suami. Dapat dikongsi bersama-sama.

Apa itu cantik bagi datin?
Mana-mana wanita yang cukup sifatnya tetap dinamakan sebagai cantik. Tetapi yang membezakannya adalah keperibadian, personaliti dan budi bahasanya. Jika ciri-ciri ini ada, maka bertambah cantiklah individu itu.

Petua datin menjaga kecantikan?
Senyum selalu, be yourself dan jangan tinggalkan solat.

Kereta datin dan nombor platnya?
Rover. WMP 727.

Prinsip hidup datin?
Bersyukur dengan apa yang kita ada. Kena banyak knowledge. You have to balance your self and try to be independent.

Bahan bacaan kegemaran datin?
Saya suka membaca Ridest Digers, of course Diva, Impiana dan buku-buku yang boleh improvekan hidup kita.

Siapa idola datin dan kenapa memilihnya?
Tun Dr Mahathir Muhammad. Dia seorang yang berwawasan. Setiap apa yang dirancangkan, pasti akan dilakukannya sehingga berjaya.

Penampilan dan pakaian yang digemari?
Penampilan simple, elegan dan bersesuaian mengikut upacara majlis. Jika keluar bersama husband dan family, kebiasaannya saya lebih selesa berseluar panjang dan memakai blause.

Bila dianugerahkan darjah kebesaran untuk bergelar datuk?
Mendapat penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka pada Oktober 2007.

Adakah datin gemar melakukan rawatan kecantikan di spa dan salon? Nyatakan kekerapannya.
Ya. Sebulan sekali.Saya juga kerap melakukan urutan badan agar badan sentiasa fresh dan sihat.

Bagaimana dengan aktiviti kecergasan dan bersukan?
Saya melakukan aktiviti kecergasan di rumah sahaja. Jika ada masa lapang, saya lebih suka melakukan senaman urutan kaki dan badan menerusi kerusi urut Ogawa.

Apakah impian datin pada masa sekarang dan akan datang?
Saya mahu menambahkan ilmu pengetahuan agama, menambahkan lagi amal ibadah kepada Allah serta mengikuti kelas-kelas agama untuk mengetahui lebih mendalam mengenainya.

Baru-baru ini kejadian pencolekan kanak-kanak memang semakin menjadi-jadi sepertimana kejadian yang terbaru, adik kecil kita, Sharlinie yang hilang sewaktu bermain di padang permainan kanak-kanak yang hanya 200 kilometer dari rumahnya. Jadi apa komen datin tentang isu ini dan apakah saranan datin kepada ibu bapa di luar sana?
Memanglah kejadian seperti ini amat dikhuatiri oleh mana-mana ibu bapa sekalipun. Kalau nak dikatakan faktor kecuaian ibu bapa boleh menyebabkan kejadian seperti ini berlaku pun tidak betul juga. Sejauh mana kita mampu mengekori anak-anak kita sehingga pergi ke kawasan p[erumahan sendiri pun sudah tidak selamat. Akan kita nak kongkong anak kita sampai macam tu sekali. Tetapi apa yang pentingya, ibu bapa hendaklah mengawasi ke mana anak-anak pergi, pantau aktiviti mereka yang boleh mendatangkan unsur bahaya terhadap keselamatan mereka. Kita juga perlu mengenali dan mengambil tahu siapakah rakan-rakan di sekeliling mereka. Lagi baik kalau anak-anak ada telefon bimbit untuk senang kita hubungi. Kalau ada apa-apa yang tidak kena kita just call saja mereka. Tanya di mana mereka berada dan bersama siapa. Itu lebih baik.

Tanpa disedari masa begitu mencemburui kami sewaktu sesi temubual dilakukan. Rupa-rupanya sudah hampir kesemua soalan yang diajukan diwab olehnya. Oh.. terlupa saya bertanyakan padanya mengenai keinginannya untuk menetap di luar negara. "Adakah datin teringin untuk bertukar angin duduk di luar negara? Terus dia menjawabnya, "Oh! Lupa nak beritahu. Akhir bulan Februari ni saya, suami dan seorang anak akan pergi ke Jeddah, Madinah kontrak selama dua tahun sebab suami dapat projek di sana iaitu Knowledge Economic City." Saya terus bertanya, "Anak-anak yang lain macam mana?" Datin Zaidah seraya menjawab, "Anak-anak yang lain semuanya tinggal di sini. Tak apalah... lagipun ada pembantu rumah. Cuma dua tahun sahaja. Kalau berada kat sana nanti lagi berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah. Itu yang saya suka sangat tu," katanya mengakhiri perbualan.

MY SELF...

Thursday, June 19, 2008

SHOOTING SPA






Penyelaras & Teks : Norasikin Samsi
Gambar : Idzwan Junaidi (www.giproduction.com)

Kenali Personaliti Pemilik Spa Versi Thai di Malaysia
Bercerita Mengenai Statusnya Sebagai Anak & Ibu


CHANTEK SPA, SECANTIK SPA VERSI THAI…

Sesekali jika dapat beristirehat sambil membelai tubuh bagi melempiaskan rasa penat di badan tentu mendatangkan kelegaan yang berbaloi. Mungkin ada di kalangan anda menggunakan versi berlainan untuk tujuan ini. Seperti saya, berkunjung ke pusat kecantikan ataupun spa untuk mendapatkan rawatan penjagaan tubuh adalah saat yang dinantikan. Baru-baru ini saya sempat meninjau sebuah spa bertempat di bandar terancang terletak di Bandar Baru Ampang.

Meskipun terletak di pertengahan hiruk pikuk kota nan pesat membangun, Anda mungkin teruja dan tidak menyangka persekitaran dalaman spa itu menampilkan konsep bercirikan tradisional Thai. Tatkala kaki ini melangkah masuk, kemudian menjenguk seketika tatariasnya membuatkan saya berasa terhibur dan kagum sejenak sambil telinga ini dibuai melodi indah muzik asli Thailand. Mengetengahkan teknik urutan dan penggunaan herba serta bahan semulajadi negara itu memberikan kelainan di Chantek Spa.

Menurut pemiliknya, Safi Abdul Rahman, spa yang beroperasi pada Disember 2006 ini mampu memberi kelainan kepada pengunjung kerana modus operandinya bertujuan agar masyarakat di luar sana dapat merasai kehebatan rawatan yang disediakan. Beliau mengatakan kebanyakan spa lain menawarkan konsep Bali. Untuk itu, dia mengambil inisiatif ini cuba membuka perniagaan spa yang berteraskan elemen Thai pada rawatan serta produknya.

“Saya mengambil masa selama enam bulan untuk mengkaji dan membuat tinjauan sebelum membuka spa ini. Saya memilih konsep Thai kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Jika di luar sana kita dapati banyak spa yang menampilkan konsep Bali, namun kali ini saya mahu pengunjung merasai perbezaannya. Terdapat kelainan pada teknik urutan yang dilakukan di samping penggunaan menyeluruh herba dalam setiap rawatan. Kesemua produk yang digunakan diperolehi sepenuhnya di Bangkok. Kadar rawatan yang dikenakan di sini juga adalah berpatutan dan sederhana,” katanya.

Objektif Penubuhan

“Paling penting di sini, saya mahu semua orang di luar sana menjaga dan mengambil berat soal penjagaan kesihatan serta kecantikan. Sebagai wanita, kita memerlukan rehat yang cukup serta penjagaan tubuh yang baik terutamanya bagi wanita yang berkerja. Untuk itu, saya juga sedia memberikan perkhidmatan terhadap pelanggan meskipun mempunyai seramai tiga pekerja. Saya akan berasa puas dan terhibur jika pelanggan saya dapat merasai kehangatan rawatan yang kami sediakan. Faktor inilah yang mendorong saya untuk membuka bisnes ini selain tumbuhnya minat yang mendalam sedari kecil lagi. Selain itu, saya juga melihat populasi orang Melayu di sini agak tinggi. Mungkin agak sukar bagi pelanggan mendapatkan spa yang selesa dengan menampilkan konsep Thai seperti kami,” jelas anak kelahiran Muar, Johor ini panjang lebar.

Selain menguruskan Chantek Spa yang bernaung di bawah syarikat Chantek Health & Beauty, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari University of Canberra, Australia ini juga merupakan usahawan dan pembekal barangan makmal sains yang diusahakan bersama rakan baiknya sejak tahun 2005. Walaupun mempunyai dua empayar perniagaan, Safi bijak menguruskan masa untuk kedua-duanya.

“Saya juga membekalkan peralatan makmal bersama rakan baik saya. Biasanya saya akan berada di sana dalam dua hingga tiga kali seminggu. Selebihnya, rakan kongsi saya akan menguruskan operasinya. Saya juga akan memastikan sehari dalam seminggu untuk bersama keluarga. Jadi waktu ini saya peruntukkan sepenuhnya untuk bersama suami dan anak tersayang,” katanya.

Kombinasi Rawatan Lengkap

Spa yang mempunyai sebanyak lima bilik rawatan dan kemudahan surau ini mengkhususkan untuk pengunjung wanita dengan menawarkan pelbagai rawatan menarik merangkumi penjagaan muka, spa, badan dan make-over. Selain itu, pakej pengantin, rawatan selepas bersalin, pakej melangsingkan badan serta pakej rawatan badan turut ditawarkan di sini dengan harga yang menarik.

Bagi penjagaan muka, anda boleh menikmati kesegarannya dengan melakukan relaxing facial, traditional facial, normal facial, treatment facial, rawatan resdung, face spa, ear candling dan juga solekan selepas rawatan dijalankan.

Spa treatment pula menyediakan rawatan manicure, pedicure. foot spa, hand spa, upper body massage, foot/hand massage, inai bercorak, rawatan mata dan eyebrow shaping.

Manakala rawatan lulur dan mangir, urut seluruh badan, sauna rempah, sauna madu, bertungku, mandi jacuzzi-aromatheraphy, mandi rempah jakuzi, mandi rempah, mandi susu madu, mandi susu, mandi sari bunga, aromaterapi bomb bath, herbal foot soak, tummy herbal wrap treatment, tummy herbal wrap dan bertanggas merupakan senarai rawatan yang mencakupi di bawah rawatan penjagaan badan.

Seterusnya, bagi anda yang ingin tampil cantik dan menawan dengan solekan tertentu, Chantek Spa turut menyediakan perkhidmatan make-over yang meliputi solekan siang dan malam. Bagi bakal pengantin pula, Chantek Spa juga menawarkan solekan untuk majlis pertunangan dan pernikahan. Tidak ketinggalan, perhiasan sanggul rambut juga turut disediakan di sini.

Untuk setiap pakej yang disediakan pula mengandungi pelbagai kombinasi rawatan yang pasti menjanjikan kepuasan terbaik kepada anda di samping penjimatan kos yang menarik. Pilih sahaja rawatan yang anda perlukan di sini, Pendek kata, anda boleh menikmati kesemua elemen kecantikan di Chantek Spa. Safi juga berhasrat untuk menambah rawatan penjagaan payu dara yang bakal dimuatkan pada Jun ini.

Promosi Hari Ibu

Sementara itu, bagi menyambut hari ibu pada 10 Mei ini, Chantek Spa juga menawarkan kupon promosi Mother’s Day Special bernilai RM50 secara percuma kepada pembaca Diva keluaran Mei ini. Dengan mengemukakan kupon asal, para pembaca layak menerima rawatan Upper Body Compress dan Upper Body Oil Theraphy mulai 1-31 Mei 2008 dengan membuat tempahan terlebih dahulu. Untuk itu, jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana promosi ini hanya terdapat di Chantek Spa.

Menghargai Pengorbanan Ibu

Safi yang dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Zalia Mohamad Zahrin berasa amat terharu dan bersyukur kerana kehadiran anaknya yang kini berusia setahun membuatkan hidupnya lebih bermakna dan bahagia. Meskipun baru bergelar ibu, dia dapat merasakan keseronokannya sehingga tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Sejak itu, dia kini semakin menghargai jasa dan pengorbanan ibunya.

Ketika ditanya siapakah dia seorang ibu bagi anda? Safi mengatakan, “Seorang ibu harus menyayangi kita, mendorong kita di samping memberikan inspirasi berterusan untuk anaknya. Sebagai anak pula, kita hendaklah bersyukur kerana mereka telah menjaga kita sebaik mungkin. Untuk itu, kita hendaklah membalas jasa mereka selama ini dengan menjaga hati dan perasaan mereka. Ingatlah satu perkara, walau sesibuk manapun kehidupan kita, luangkanlah masa untuk bersama mereka ataupun sekurang-kurangnya sentiasa menghubungi dan bertanya khabar tentang mereka. Macam saya sendiri, saya memang rapat dengan ibu bapa saya. Kami sekeluarga akan pulang ke kampung sebulan sekali untuk menjenguk mereka. Begitu juga hubungan saya dengan ibu mertua. Kami memang rapat dan mesra. Malah ibu mertua saya sering datang ke sini menghabiskan masa bermain dengan cucunya,” kata Safi mengakhiri perbualan.

SHOOTING BERSAMA ROSNAH MAT ARIS - KOLUM IBU TUNGGAL





Penyelaras & Teks : Norasikin Samsi
Gambar : Idzwan Junaidi (www.giproduction.com)


KEHIDUPAN ROSNAH MAT ARIS SETELAH 'BEBAS' DARI HUKUMAN

-Ambil Pendekatan Terus Maju Ke Hadapan

Pernah mencetuskan kontroversi apabila berlakunya pengucapan yang tidak disengajakan ataupun kata lainnya 'terlepas cakap'. Ungkapan yang dilabel sebagai melampau atau biadap bagi segenap pendengar yang mengikuti program bual bicara anjuran TV3 itu mendapat perhatian seluruh masyarakat khususnya beragama Islam. Dikatakan tidak peka soal agama sekaligus menyentuh sensitivitinya, pelakon popular tanah air, Rosnah Mat Aris dijatuhkan hukuman di atas keterlanjurannya itu. Ekoran kejadian tersebut, dia dihukum 'penjara' selama setahun. Semuanya disebabkan satu perkara, angkara mulut. Benarlah seperti kata pepatah, 'kerana mulut badan binasa'. Inilah yang terjadi pada pelakon yang memegang watak 'Mak Tungkik' dalam Filem Duyung terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Line Clear Motion Pictures. Hukuman 'penjara' yang dikatakan di sini bermaksud beliau telah pun menerima hukuman digantung daripada muncul dalam mana-mana rancangan terbitan RTM. Hukuman selama setahun berkuat kuasa 2 Mac 2007 itu berpunca apabila Rosnah yang lebih mesra menggelarkan dirinya sebagai Kak Ros mengeluarkan kenyataan sensitif mengenai isteri Rasulullah pada 16 Februari tahun lalu menerusi rancangan Sensasi. Semasa program itu, Rosnah menyentuh secara sensitif usia isteri Rasulullah, Saidatina Siti Khadijah sehingga menimbulkan pelbagai reaksi tidak puas hati dari umat Islam. Disebabkan kejadian itu, Rosnah digam oleh RTM, manakala program secara langsung itu turut diarahkan supaya dihentikan serta merta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Rosnah terpaksa akur menerima pelbagai penghinaan dan tomahan yang dilemparkan kepadanya meskipun beliau telah meminta maaf secara terbuka gara-gara insiden itu menerusi sebuah akhbar tabloid tempatan. Namun, dalam tempoh pergantungan itu, Rosnah masih aktif berlakon di bawah syarikat produksi lakonan di Singapura.

Menurutnya, sepanjang dia berhadapan dengan tempoh penggantungan di RTM, beliau masih menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi ada sedikit perubahan berlaku. Maksudnya, dia tidak menerima sebarang penawaran lakonan dari pihak televisyen tersebut. "Kak Ros akui selama setahun Kak Ros tidak dibenarkan muncul di RTM dan bermakna selama itulah banyak syarikat yang tidak mahu mengambil saya berlakon. Kak Ros terima itu adalah kesilapan yang Kak Ros lakukan. Kak Ros redha dengan apa yang berlaku. Kak Ros anggap ini adalah ujian dari Tuhan dan Dia mahu menguji sejauh mana kekuatan Kak Ros. Tetapi berkat kesabaran dan tempoh yang Kak Ros lalui, akhirnya Kak Ros berjaya melepasi rintangan itu. Saya anggap hukuman itu sebagai pengajaran berguna disebabkan peristiwa itu,"

Ketika ditanya mengenai imejnya yang sentiasa tampak muda dan ranggi, Rosnah sedia mendedahkan rahsianya. " Saya akan pakai pakaian yang memberikan keselesaan kepada saya. Lagipun bukannya saya berpakaian seksi. Dedah sana, dedah sini. Saya suka dengan imej ini. Peminat suka melihat artis kelihatan muda, kemas dan cantik. Jadi, saya kena jaga personaliti saya demi kerjaya."

Bagaimana pula dengan tutur bicara?. Dia menjawab, "Kak Ros masih tetap seperti dahulu. Seperti mana Rosnah Mat Aris yang orang kenal sebelum ini. Saya tidak suka hipokrit. Lebih-lebih lagi dalam soal percakapan dan penampilan. Buat apa nak jadi orang lain. Tetapi sekarang ni, banyak pengajaran yang saya terima dari peristiwa tersebut. Sekurang-kurangnya ia mengajar saya mengawal percakapan dan perlu berhati-hati dalam membicarakan mengenai isu sensitif dengan berfikir terlebih dahulu agar pisang tidak berbuah dua kali," katanya.

Meskipun Rosnah dilanda tamparan hebat sebegitu, namun ibu kepada empat anak ini yang juga memikul peranan sebagai bapa dalam institusi keluarganya cukup kuat dan berani mengatasi setiap dugaan yang melanda. Bukan itu sahaja, dia juga melonjak ke hadapan mengintai peluang perniagaan untuk masa hadapan. Itulah dia perancangan wanita yang bernama Rosnah Mat Aris sebaik sahaja dia 'bebas' menjalani tempoh penggantungan itu.

MENGINTAI PERNIAGAAN DI BAHRAIN

Persoalan utama yang diajukan padanya tatkala bercerita perihal ini, "Adakah Kak Ros merajuk atau mahu membawa diri ekoran dari kejadian berkenaan? Adakah Kak Ros akan berhijrah dan terus menetap di sana?." "Tiada istilah merajuk dalam hidup Kak Ros. Kalau betullah Kak Ros nak bawa diri mengapa Kak Ros tak pergi dari dahulu lagi. Sebenarnya, Kak Ros berhajat untuk membuka restoran makanan Malaysia di Bahrain atas pelawaan sepupu Kak Ros yang tinggal di sana. Kak Ros bukan merajuk dengan apa yang berlaku tetapi Kak Ros mengambil peluang ini untuk mencuba sesuatu yang baru dan mengembangkan perniagaan Kak Ros ke peringkat antarabangsa. Mungkin berbekalkan pengalaman dan kebolehan Kak Ros memasak dan berniaga di sini akan menghasilkan sesuatu yang baru dalam hidup Kak Ros. Selain itu, inilah peluang untuk Kak Ros memperkenalkan kepada rakyat di sana keistimewaan masakan tradisi Malaysia."

"Seperti yang Kak Ros tinjau, penduduk di sana menyukai nasi lemak. Jadi Kak Ros ingin menyediakan menu itu selain rendang ayam, ayam goreng berempah dan roti canai secara berperingkat. Terbaru, pada bulan Mac lalu, Kak Ros baharu sahaja pulang dari Bahrain mencari restoran yang sesuai yang bakal beroperasi secepat mungkin. Jika tiada aral melintang sebaik sahaja semua pengurusannya berjalan lancar, Insya-Allah Kak Ros akan memulakan perniagaan ini. Tetapi walau macam manapun, Kak Ros akan berulang alik ke sini sebab anak-anak ada di sini. Cuma seorang anak lelaki Kak Ros akan menemani Kak Ros ke sana nanti. Lagipun Kak Ros masih berlakon di sini seperti biasa. Itupun bergantung pada masa dan keadaannya. Tapi jika perniagaan berkembang maju dan punya potensi baik untuk masa depan, mungkin Kak Ros akan bawa anak-anak Kak Ros menetap di sana dan meneroka perniagaan yang lebih baik memandangkan populasi masyarakat Melayu di sana yang kian meningkat," katanya yang menceburi sektor perniagaan sejak tahun 1978.

IBU TIDAK BOLEH DIBELI & DIGANTI

Sempena meraikan sambutan hari ibu pada bulan ini, saya mengambil peluang untuk menanyakan perihal ibu kepadanya. "Boleh tolong jelaskan di manakah letaknya martabat seorang ibu di kaca mata Kak Ros?". Lantas beliau menjawab, "Seorang ibu tidak boleh dibeli dan tidak boleh diganti. Ibu tidak ada dijual di pasar atau di supermarket. Jika kawan kita boleh cari dan gantikan dengan kawan yang lain. Tapi bila bercakap mengenai ibu, tiada apa yang boleh dibandingkan dan digantikan dengan dengannya melainkan kita meletakkannya di tempat teratas dan paling mulia di dunia ini. Pengorbanan ibu mengandungkan, melahirkan, memelihara, membesar dan mendidik anak sehingga dewasa tidak boleh dinilai dengan apa sekalipun. Itulah martabat seorang ibu," katanya yang teruja menantikan tayangan drama lakonannya, Dwi Cinta terbitan Bright Network yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi yang mana penayangannya disekat selama setahun sejak kejadian tersebut.

Saya menyambung pertanyaan. "Setiap anak tidak terlepas dari membuat kesilapan dan dosa terhadap orang tuanya. Jika kita tengok realiti kehidupan anak di zaman sekarang, ramai yang sudah lupa tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Ada yang sudah hilang rasa hormat, tidak menghubungi dan mengunjungi mereka. Malah ada yang keterlaluan sehingga melupakan terus jasa dan pengorbanan ibu bapa sehingga sanggup tidak mengaku itu adalah orang tuanya sekaligus menjadi anak derhaka. Apa komen Kak Ros jika situasi ini terjadi pada Kak Ros? Adakah Kak Ros akan memaafkan mereka? "Jika Kak Ros tengok zaman sekarang, memang ada anak yang bersikap demikian. "Banyak yang kita tengok anak-anak sekarang bersikap biadap terhadap ibu bapanya. Tetapi situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Namun, sebagai ibu, kita mestilah mengampunkan dan menghalalkan dosa anak-anak kita. Bagi Kak Ros, Kak Ros sentiasa memaafkan dan menghalalkan dosa anak-anak. Satu yang Kak Ros minta supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan berharap agar mereka tidak melupakan ibunya ini," katanya yang kini sedang meninjau lokasi perniagaan di Bahrain.

Bagaimana pula dengan penghargaan anak-anak apabila menjelang hari ibu ataupun hari jadi Kak Ros? Adakah mereka meraikannya ataupun memberi sesuatu yang istimewa buat ibunya? Rosnah tersenyum seketika. Mungkin sedang mengingati peristiwa yang mencuit hatinya. Lantas dia menjawab, "Anak-anak Kak Ros selalu buat suprise pada Kak Ros. Macam dua tahun lalu, masa itu Kak Ros tak ingat pun hari jadi Kak Ros. Pada hari tersebut, Kak Ros tertidur sampai nak masuk waktu maghrib. Setelah sedar dari tidur, Kak Ros tengok rumah Kak Ros gelap gelita. Kak Ros tanya mereka kenapa tak buka lampu. Mereka kata tiada elektrik. Betul-betul Kak Ros ingat tiada elektrik masa tu. Kemudian, Kak Ros bangun dan keluar dari bilik, semua anak-anak Kak Ros nyalakan lilin dengan kek dan menyanyikan lalu hari jadi untuk Kak Ros. Barulah Kak Ros sedar yang hari itu adalah hari jadi Kak Ros. Kak Ros benar-benar rasa seronok dan bahagia masa tu," katanya.

Seraya itu penulis terus bertanya, macam mana dengan pemberian hadiah daripada anak-anak setiap kali tibanya hari ibu ataupun hari jadi Kak Ros? "Tiada ibu bapa yang nak tengok anaknya hidup susah. Semuanya mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Begitu juga macam Kak Ros, Kak Ros selalu berdoa pada Tuhan supaya memberikan kesejahteraan, kehidupan yang baik, keselamatan dan juga kesenangan hidup untuk anak-anak Kak Ros. Kak Ros mohon pada Tuhjan agar anak-anak Kak Ros dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah. Alhamdulillah, Kak Ros bersyukur sangat-sangat kerana anak-anak Kak Ros memahami dan sentiasa berada di sisi Kak Ros pada bila-bila masa sahaja. Merekalah yang banyak memberikan dorongan dan semangat buat Kak Ros sepanjang Kak Ros melalui tempoh hukuman lalu. Itulah berkat doa ibu yang tidak pernah putus untuk anak-anaknya. Berbalik kepada hadiah dari anak-anak sempena hari ibu ataupun hari jadi Kak Ros, biasanya anak-anak Kak Ros akan mencium pipi Kak Ros. Inilah hadiah paling berharga bagi Kak Ros. Jika pada hari tersebut Kak Ros sedang shooting atau tiada di samping mereka, Kak Ros akan terima ucapan melalui sms dari mereka. Bagi Kak Ros cukuplah jika mereka dapat mengingatinya. Kak Ros rasa bangga dan terharu kerana Tuhan menganugerahkan anak-anak yang sentiasa mengingati ibunya. Namun, jika Kak Ros bersama mereka pada waktu itu, pasti mereka akan bawa Kak Ros keluar makan ke tempat istimewa sempena meraikan hari tersebut," katanya yang memasuki 54 tahun pada 9 Mei ini.

JANTUNG HATIKU SYAFIKA

MY BABY SYAFIKA & AKSINYA

MY LOVING...NUR SYAFIKA CHE HASSAN

SHOOTING BERSAMA OWNER AURA SERI

Teks : Norasikin Samsi
Gambar : Idzwan Junaidi (www.giproduction.com)


SEGENIUS WANITA BERNAMA ‘IRA GHANI’

Sejarah hidupnya bermula sebagai gadis sunti yang berasal dari kampung yang merantau mencari pengalaman hidup. Berkahwin pada usia muda bukan halangan untuknya melakar kejayaan. Mengharungi kehidupan yang amat pahit seawal usianya mencecah 20-an membuat beliau lebih menghargai erti kehidupan. Waktu sukar yang ditempuhi mengajarnya erti kedewasaan, kematangan serta bersyukur kerana memiliki seorang suami yang sangat memahami selain mempunyai motivasi yang tinggi. Lama-kelamaan senario ini dapat membantu beliau berdiri teguh tanpa menoleh ke belakang lagi.

Bayangkan gadis yang berasal dari Taiping, Perak ini pernah melalui kehidupan getir di usia yang begitu muda. Sehingga satu ketika dahulu, beliau pernah diuji untuk membuat pilihan sama ada memilih keluarga atau pun suami. Namun, atas sokongan suami dan minat yang mendalam terhadap kecantikan membuatkan beliau berani menceburkan diri dalam bidang ini. Tanpa berbekalkan sebarang pinjaman dan bantuan, beliau dan suami memberanikan diri berjinak-jinak dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan. Umpama kata pepatah, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Berkat kesungguhan dan motivasi diri yang tinggi ianya berhasil sehingga membawa kejayaan seperti mana sekarang.

Kejayaan beliau kini telah dikongsi bersama mereka yang ingin maju sepertinya. Siapa lagi jika bukan usahawan bumiputra tersohor yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Positive Image Resources dan Pengasas Aura Seri & Aura Genius. Pn Ira atau nama sebenarnya Nor Zaina Ghani. Wanita berusia 30 tahun ini yang juga Pengasas Aura Seri Spa & Beauty serta Pengasas Aura Seri Cosmetics (skin care series) telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya terutamanya golongan wanita bumiputra di bawah syarikat Positive Image Resources yang memasarkan produk berkualiti jenama Aura Seri & Aura Genius. Malah dia juga pernah menerima Anugerah Gatte Fosse (Aromaterapi) daripada Institute Of Health Science, Open University, India.

Turut membanggakan, Positive Image Resources telah pun dilantik menjadi Anchor/Mentor di bawah Program Peruncitan Bumiputra dengan usahasama MARA dalam bidang kecantikan dan kesihatan.

“Saya telah pun menerima Watikah Anchor/Mentor yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi. Secara tidak langsung menjadikan Aura Seri sebagai produk yang diiktiraf dan mampu mengembangkan sayapnya demi membangunkan usahawan berjaya,” jelas bekas pelajar SMTA Pekan, Pahang ini.

Manakala senarai cawangan mentee yang dipilih di bawah Aura Seri Spa & Beauty Usahasama Mara ini adalah seperti di Labuan, Wangsa Maju dan Sungai Buloh. Aura Seri Spa Mara di Sabah juga bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 28 Jun nanti.

Menurut usahawan genius yang mempunyai dua anak lelaki ini, syarikatnya juga merupakan syarikat pertama yang mengetengahkan konsep Aura di dalam bidang kecantikan. Katanya, ini disebabkan bidang Aura begitu luas dan telah lama digunakan untuk kecantikan. Untuk itu, syarikat ini menggunakan insentif bagi mendalami dan menerokai ilmu Aura secara serius.

“Aura penting dalam kehidupan dan amat berkait rapat dengan manusia. Positive Image Resources juga sering melibatkan diri dalam program-program amal dan juga kebajikan. Matlamat kami adalah untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berjaya juga berketrampilan menarik serta berilmu pengetahuan tinggi agar disegani. Kami juga mengharapkan agar di masa hadapan, syarikat ini akan dikenali sebagai satu syarikat yang cukup sinonim dengan membina imej menarik serta berkerjaya.” katanya.

Aura Seri Terajui Pakej Bulan Madu Romantis

Bali, Indonesia dipilih sebagai destinasi program “Aura Fantasia Bulan Madu” anjuran Aura Seri dengan kerjasama Utusan Travel & Tours. Percutian romantis dalam program bulan madu ini dijadualkan berlangsung selama 4 hari, 3 malam mulai 17 hingga 20 Jun ini. Program yang akan disertai seramai 50 pasangan suami isteri ini bertujuan mengeratkan hubungan mereka dengan suasana romantis. Selain itu, turut disampaikan pengisian ilmu secara santai oleh Pn Ira sendiri di samping suaminya, Prof Dr Ibrahim Ahmad, pakar motivasi terkenal dan merupakan perintis teknologi Aura nombor satu di Malaysia.

Prof Dr. Ibrahim Ahmad yang sering kali dijemput menjadi panel bagi program motivasi dan kekeluargaan merupakan nama yang tidak asing dalam memotivasikan masyarakat dan banyak membantu menyelesaikan permasalahan individu dan juga pasangan yang meminta bantuannya. Manakala isterinya pula yang cukup dikenali di kalangan korporat dan juga VIP, kerap dijemput menjadi penceramah untuk bengkel kecantikan dan juga kekeluargaan.

Meskipun sudah berkahwin selama 11 tahun, ‘pasangan belangkas’ ini merupakan pasangan contoh selain kejayaan mereka sebagai usahawan berjaya, Apatah lagi kemesraan mereka membuatkan pasangan peserta tidak kekok dan mudah berkongsi cerita dan rahsia mereka. Produk yang diasaskan oleh Pn Ira ini iaitu Aura Seri juga merupakan produk yang dapat membantu dalam kehangatan hubungan suami isteri. Konsep dan juga idea asal program ini juga adalah hasil nukilan dari Prof Dr Ibrahim Ahmad dan juga Positive Mind Resources.

“Program Aura Fantasia Bulan Madu ini diserikan dengan penyertaan artis jemputan, pasangan pengantin baru, iaitu Khai dan Rosma (Akademi Fantasia 1). Manakala Roslan Shah bertindak sebagai pengacara majlis dan juga perantara”.
Pn Ira menyambung, “Selain pakej lawatan ke tempat menarik di Bali, banyak rahsia perhubungan yang sebelum ini tidak biasa dibincangkan secara terbuka oleh masyarakat kita, akan dibicarakan dan dikongsi bersama dan seterusnya membantu peserta mengaplikasikannya ke dalam hubungan masing-masing. Program ini sesuai untuk semua pasangan berkahwin, tidak kira sama ada mereka baru berkahwin atau pun sudah lama berkahwin, malah kami amat-amat menggalakkan penyertaan pasangan yang sudah lama berkahwin kerana cinta itu harus sentiasa disemarakkan.

“Program Aura Fantasia Bulan Madu ini pasti akan menjadi satu program yang sangat menarik dan tidak akan dilupakan oleh peserta. Dengan berlatar belakangkan Bali, yang sangat sinonim dengan keindahan serta suasana romantiknya, pakej lawatan dan juga aktiviti yang amat menarik, pakej harga yang berpatutan, pengisian yang ada padanya serta sokongan dari media, menjadikan program ini sesuatu yang tidak harus dilepaskan oleh pasangan,” katanya.

“Pasangan peserta juga berpeluang memenangi hadiah lumayan bernilai RM10,000 yang berupa barang kemas dari Rafflesia bernilai RM5000, jam tangan dari Blan Sacar bernilai RM3000 dan juga pakej spa, produk Aura Seri serta pakej pelancongan bernilai RM2000 untuk kategori hadiah utama yang akan diberikan kepada pasangan paling hangat sepanjang program selain dari hadiah-hadiah hebat lain (percutian, pakej spa dan lain-lain) bagi kategori berasingan. Peserta akan dihakimi oleh juri rahsia kami yang akan memantau hubungan pasangan sepanjang program berlangsung.

“Diharap program ini berjaya mencapai objektifnya dan seterusnya sedikit sebanyak dapat membantu mengeratkan lagi hubungan pasangan suami isteri. Secara tidak langsung, ia dapat menyumbang kepada pengurangan keruntuhan institusi kekeluargaan di Malaysia. Program ini juga merupakan hadiah terbaik sempena Hari Ibu, Hari Bapa dan juga sebagai hadiah perkahwinan. Pendaftaran penyertaan adalah bergantung kepada kekosongan dengan terhad kepada 50 pasangan sahaja dan hanya dibuka untuk pasangan suami isteri yang sah sahaja,” jelas Pn Ira mengakhiri perbualan.
KEAJAIBAN NALURI SEORANG IBU...

Norlina Alawi Rela Dicemuh, Dihina Semata-Mata Membela Nasib Anak-Anak AIDS/HIV

"Kamu ni angah, berani sangat! Kalau berjangkit, seumur hidup menangis air mata darah pun dah tak berguna!", tegur saudara mara apabila mengetahui As disahkan mengidap HIV Positif. Semua kaum keluarga protes apabila mendapat tahu bahawa aku ingin membela gadis bisu dan cacat pendengaran itu."

"Kenapa nak menyusahkan diri? Kenapa nak mengacau-bilaukan keluarga kita? Kita dah ada lima anak. Jaga yang ada ni pun dah besar pahala mama dapat!", jerkah suaminya, Roslan, berang.

"Aku sudah bertekad. Biar pun tsunami melanda, biar bumi bergoncang, selagi diizinkan Allah, aku ingin hamil anak keenam. Untuk apa? Bukankah aku sudah mempunyai lima anak? Mengapa harus menambah anak lagi? Ramai yang bertanya. Aku sekadar tersenyum... Dalam lembut, aku memberikan jawapan dan semua yang mendengar terpana seketika. Mungkin mereka berasa hairan. Malah mereka mengatakan aku sudah gila!"

"Biarlah...setiap orang bebas bercakap. Aku tidak berkecil hati. Aku hanya memohon ke hadrat Ilahi agar dimurahkan rezeki. Aku mahu hamil dan melahirkan bayi keenam aku bersama Roslan. Untuk apa? Ya, itulah persoalannya. Aku yakin hanya susu ibu sahajalah yang mampu memberi keajaiban pada bayi dalam kandungan As. Susu ibu mestilah daripada ibu yang sihat. Aku mengimpikan untuk menyusukan sendiri bayi As di samping merasai keseronokan mendapat cahaya mata baru. As tidak mampu berbuat demikian kerana dia disahkan HIV positif apabila kandungannya berusia tujuh bulan. Gilakah aku? Apakah menyusukan bayi, bersedekah sekadar seteguk dua susu badan sendiri kepada anak yang bukan kukandungkan, aku dianggap gila."

"Alhamdulillah, tiga bulan selepas itu, aku disahkan hamil. Suamiku langsung kehilangan kata-kata. Bukan sekadar itu, dia juga tidak percaya dengan tujuan kehamilanku. Muslihatku cuma satu. Mahu menggunakan susu badanku kelak untuk anak As yang bakal lahir itu. Sehingga As selamat melahirkan 'Andak' (panggilan bagi anak As yang baru dilahirkan). Nenek Andak bercadang menyerahkannya ke rumah kebajikan. Aku tidak sanggup berdiam diri. Biarlah aku dikutuk jiran tetangga. Aku mahu Andak membesar sebagai anak angkat aku yang sah setelah ibunya melarikan diri selepas melahirkan Andak. Akhirnya Allah mempermudahkan proses itu. Aku selamat melahirkan anak keenam, Nur Elisa Sofea. Kelahirannya membawa seribu hikmah. Tarikh 20 Ogos 2002 memberikan cahaya baru dalam hidupku."

"Semua kesakitan lenyap apabila menatap wajah bayiku. Paling memilukan, aku menatap Andak yang penuh asyik berkongsi susu badan bersama anakku. Sehingga aku menerima berita di luar jangkaan. Tetapi itulah doa dan harapan aku agar Andak bebas dari jangkitan HIV. Pada usia Andak dua tahun, aku dikhabarkan bahawa Andak bebas dari virus itu. Akulah insan paling gembira dan terharu di dunia ini. Tidak dapat kubayangkan kebahagiaan yang tiada tandingan ini. Merenung wajah Andak yang terlena kekenyangan sebaik sahaja aku menyusukannya, membuatkan aku terus menangis sepuas-puasnya. Hanya insan yang berada di tempatku sahaja dapat memahami apa yang aku rasakan waktu itu. Naluri keibuanku memuncak-muncak. Aku mampu menyusukan dua bayi sekali gus."

Begitulah waktu-waktu sukar yang dilalui oleh wanita bergelar ibu kepada 40 orang anak ini. Melahirkan anak dari rahimnya sendiri seramai tujuh orang dan selebihnya 33 orang adalah anak angkatnya. Sementara empat orang dari anak angkatnya itu menghidapi AIDS. Manakala yang lainnya pula terdiri daripada anak-anak yang mempunyai sejarah hitam seperti anak-anak penagih dadah, anak yatim piatu, anak yang tiada bapa dan anak terbuang.                                                                                                                                                                       

Malah untuk mengharungi semua cabaran ini, sokongan penuh dari suami serta anak-anak kandungnya amat diperlukan. Untuk itu, wanita ini sering berdoa agar suatu hari nanti dibukakan pintu hati suaminya untuk menerima perjuangan yang dilakukannya membela kanak-kanak itu.

"Alhamdulillah. Kini, segala pengorbanan dan pahit jerit yang ditempuhi mampu dikongsi bersama suami yang dahulunya menentang habis-habisan. Namun, sekarang kami saling memerlukan dalam sebuah keluarga besar agar sama-sama dapat membimbing anak-anak supaya mereka dapat menjalani kehidupan sempurna dan terjamin," ujar Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Puan Hjh Norlina Hj Alawi yang mesra membahasakan dirinya sebagai 'Mama'.

Beliau menyambung, "Mama juga akan pastikan semua anak-anak mama tidak terabai. Mama akan pastikan kesemua anak-anak Mama mendapat kasih sayang Mama. Malah bagi anak-anak Mama yang kematian ibu bapa akibat HIV, Mama akan cari tanah perkuburan ibu bapa mereka dan bawa mereka pergi ke tanah perkuburan orang tua mereka. Walaupun ada yang tidak mengenali langsung orang tuanya, tetapi, sekurang-kurangnya biar anak-anak ini tahu di manakah kubur ibu bapa mereka. Mungkin dalam waktu terdekat ini mama sedang meneruskan pencarian kubur arwah ibu bapa salah seorang anak mama yang dikenal pasti berada di Pulau Seratus, Tumpat, Kelantan," katanya.

Siapa Norlina Alawi?

Pengalaman penulis yang tidak dapat dilupakan apabila berpeluang berada di PERNIM bersama kanak-kanak tersebut di samping temubual khusus bersama Puan Hjh Norlina.
Mungkin kotak fikiran saya mengatakan tiada siapa wanita yang dapat menandinginya. Kerana limpahan kasih sayang dan pengorbanannya membela nasib anak-anak yang bukan darah dagingnya sendiri. Umpama langit dan bumi jika dibandingkan diri saya dengannya. Meskipun saya juga seorang penyayang tetapi mampukah saya mendukung tanggungjawab mengasuh dan mendidik seramai 33 orang anak angkat itu? Saya tidak kuat untuk itu. Tetapi isi hati saya kuat untuk mengetahui latar belakang Puan Hjh Norlina Alawi.

Sehingga ke hari ini, tidak ramai individu atau badan-badan NGO yang sanggup tampil ke hadapan demi membela dan menghulurkan bantuan terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS kerana mereka menganggap tanggungjawab ini hanya wajar diserahkan sepenuhnya kepada keluarga kanak-kanak yang terdekat dan bantuan kerajaan. Dalam berjuta rakyat Malaysia, muncul juga seorang insan yang berhati mulia yang sudi membantu nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS. Puan Hjh Norlina Hj Alawi serta seluruh ahli keluarga yang terdiri dari suami, anak-anak yang masih bersekolah menengah dan rendah turut sama memikul tanggungjawab ini. Keluarga penyayang ini hanya merupakan sebuah keluarga sederhana. Puan Hjh Norlina hanya menjalankan perniagaan 'Catering' sebagai sumber pendapatan di samping bantuan suaminya. Melalui dua sumber pendapatan inilah dikongsi bersama bagi membela nasib anak-anak pesakit HIV/AIDS yang memerlukan perlindungan dan pelajaran setakat yang termampu. Semuanya adalah kehendak Tuhan yang mengerakkan hati, lantaran rasa keinsafan dan kesedaran bahawa mereka juga adalah makluk Allah yang bergelar insan yang mempunyai hati dan perasaan.

Wanita yang dilahirkan di Kluang Johor pada 19 Disember 1971 ini merupakan anak kedua dari sembilan adik beradik dan beliau adalah anak kepada Pegawai Perhutanan. Sedari kecil, beliau telah diasuh dengan didikan agama, nilai-nilai murni, menghargai insan kurang upaya dan sikap suka menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang berada dalam kesusahan.

Puan Hjh Norlina, 36 mendapat pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Tinggi Kluang Johor dan telah mendirikan rumah tangga pada usia muda dengan suami tercinta, Roslan Zakaria, seorang Pegawai Tentera. Beliau pernah hidup merantau mengikut suaminya berkhidmat di Johor, Sabah, Seremban dan Kuala Lumpur. Dia seorang yang berdikari lantaran sering ditinggalakan suami yang bertugas di luar daerah demi manjaga perbatasan negara. Dia juga aktif di dalam Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT) dan menceburkan diri di dalam dunia perniagaan sajian pemakanan iaitu 'Catering'. Perniagaan ini telah diusahakan semenjak 1998 lagi sehingga beliau terbukti menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya. Kini beliau menceburkan diri dalam bidang pengurusan acara semata-mata mencari peluang untuk menambah pendapatan keluarga demi menyara anak-anak PERNIM di bawah jagaannya.

Pn Hjh Norlina telah memulakan kebajikan membela nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS bermula pada tahun 2001 setelah berpindah dari Sabah dan menetap di Taman Melur, Ampang. Pada mulanya, beliau telah memberi perlindungan kepada seoang gadis berumur 23 tahun yang cacat pendengaran serta bisu dan mengandung akibat hubungan seks dengan penagih dadah. Dia disahkan menghidap HIV positif setelah tujuh bulan mengandung. Pada penghujung 2003, terbit satu perasaan kasih sayang yang amat mendalam terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS. Beliau telah berusaha gigih menubuhkan PERNIM sekaligus menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua PERNIM. Pada 17 Mac 2004, PERNIM menjadi kenyataan setelah diluluskan oleh ROS dan sehingga kini Puan Hjh Norlina berjuang bersama PERNIM demi membela nasib anak-anak yang memerlukan sekelumit kasih sayang dan perhatian. Setelah melalui berbagai cabaran dan dugaan semasa memelihara anak-anak berkenaan, akhirnya beliau telah berjaya menubuhkan Pusat Perlindungan PERNIM pada 26 Mei 2006 dan memegang jawatan sebagai Pengerusi.

SHOOTING DI PERNIM